Setiap orang pasti sukar untuk melupakan kenangan yang indah kali pertama dalam hidup.Seperti kali pertama jatuh cinta di zaman sekolah,walaupun ia tak berakhir dengan cerita indah seperti di dalam filem namun ia akan sentiasa tersemat di dalam hati sehingga ke akhir hayat.
Ciri-ciri insan pertama yang kita cintai itu mungkin akan terbawa-bawa sebagai indikator bagi pengalaman jatuh cinta seterusnya sehingga kita ditakdirkan bertemu dengan pasangan hidup yang Allah dah tetapkan untuk kita.
Begitulah juga dengan pelbagai kenangan lain di dalam hidup.Sesuatu yang pertama kali dilalui akan memberi kesan pada jiwa.
Sebuah travelog pertama yang saya pernah lalui di dalam hidup ialah ketika menyahut panggilan Haji pada tahun lepas.Seperti mimpi,seorang lelaki kampung seperti saya ni yang tak pernah tergambar di fikiran akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya ditakdirkan oleh Allah untuk ke sana bagi menunaikan Rukun Islam ke-5 di usia yang masih muda;awal 30-an.
Sebelum ini saya pernah berkelana ke negara orang,hampir seminggu ke Indonesia bersama beberapa orang rakan.Ketika itu masih dalam proses sembuh daripada patah hati kerana ketika itu saya bercita-cita untuk menamatkan zaman bujang di usia 25 tahun.Namun kerana wanita tersebut pada perkiraan saya,keluarganya dah aturkan dia dengan lelaki yang saya akui lebih baik daripada saya akhirnya saya belajar untuk melupakannya.
Dia seorang wanita yang baik.Berkaca mata,sopan,bertudung bawal dan tak ikut 'trend' moden ketika itu cuma di akhirnya saya dapat tahu dia daripada keluarga orang yang berada.Kami berakhir dengan baik,dan saya masih ingat kata-kata terakhir saya ucapkan padanya pada petang itu.Itulah saat terakhir saya melihatnya.Melaluinya saya dapat tahu bahawa lelaki itu telah diatur oleh keluarganya.Lalu saya berpendapat agar dia kekal dengan lelaki itu kerana sesuatu yang dah diaturkan oleh keluarga itu lebih baik.Apatah lagi jika saya masuk dalam keadaan keluarganya tak menerima saya,itu akan lebih memeritkan untuk saya hadapi di masa-masa mendatang.Adakalanya walaupun keputusan yang kita buat tu akan mematahkan hati namun,atas dasar kematangan yang perlu kita bina walaupun pahit.....kita lepaskan juga sesuatu yang kita tahu ia takkan jadi milik kita.
Berbalik tentang cerita travelog ni.Untuk menunaikan haji,bukanlah seminggu tempoh yang saya lalui untuk meninggalkan tanah air tercinta,tetapi lebih daripada sebulan saya akan bermukim di sana.Budaya yang berbeza,suasana,cara makan dan kehidupan yang berbeza sepanjang berada di sana namun itulah pesan pujangga,
'Jauh perjalanan kita,luaslah pengalaman.'
Travelog ini bukan bermula setahun dua,tapi seawal tahun 2009 yang saya pun dah lupa bahawa tahun tersebut saya mendaftar haji bersama kedua orang tua saya.Ketika itu baru tamat sekolah dan sedang menunggu keputusan SPM.Mungkin sebagai tanda menuju dewasa,saya dibawa oleh abah ke Tabung Haji untuk menukar status akaun daripada diurus oleh abah kepada diri saya sendiri sebagai pengurus akaun.Ketika proses penukaran nama tu,kami terus mendaftar untuk Haji dengan bayaran deposit RM 1,300 sebagai simpanan pendaftaran Haji.Seingat saya,tertulis di kertas pendaftaran tersebut yang kami mendaftar untuk menunaikan Haji pada awal bulan Mac 2009 dan tertulis tahun 2024 sebagai tahun giliran.
Tahun demi tahun,kertas pendaftaran tu tak pernah dibuka.Hanya disimpan rapi di dalam begi simpanan buku akaun bank dan saya pun dah lupa....dengan disibukkan urusan dunia dan keseharian hidup,melalui suka duka,pahit manis,jatuh bangun kehidupan.Sehinggalah pada satu hari,di bulan Oktober 2023 telefon bimbit saya berbunyi menandakan ada mesej masuk.
Bersambung.....


0 $type={blogger}:
Post a Comment