Sinar Syawwal

 Alhamdulillah dah seminggu lebih kita berada di bulan Syawal.Bagi kami di Pantai Timur,negeri paling bahagia di Malaysia Alhamdulillah...kemeriahan Aidilfitri hanya pada akhir Ramadhan dan awal Syawwal kerana masing-masing pulang beraya di sini dari perantauan.Maka 'vibes' kemeriahan tu akan terasa di akhir Ramadhan kerana jalanraya mulai sibuk di sini dengan kemasukan anak-anak perantauan untuk pulang beraya.

Kebiasaannya,raya ke-3 dan ke atas suasana perlahan-lahan kembali seperti biasa.Namun di Lembah Klang sana,mungkin mereka baru 'merayakan'  Aidilfitri dengan saling menziarahi setelah kembali semula dari beraya di kampung.


 Alhamdulillah juga.Untuk Syawwal kali ini ada beberapa orang sahabat yang menamatkan zaman bujang mereka,sesuai dengan sunnah yang mulia iaitu menikah di bulan Syawwal.Semoga semuanya dikurniakan rumahtangga yang penuh dengan sakinah,mawaddah & rahmat.

Aidilfitri kali ini juga menjadi satu sejarah untuk saya yang menyambut ulangtahun kelahiran ke 30-an pada awal Syawwal.Bolehlah menumpang juadah Aidilfitri sebagai santapan ulangtahun kelahiran menggantikan kek. 😁

Menyambut Aidilfitri kali ini sama seperti tahun-tahun yang berlalu.Cuma sambutan kali ini dalam usia yang semakin bertambah.Walaupun masih 'sendiri',Alhamdulillah dikelilingi oleh ahli keluarga yang menjadi sinar hidup untuk saya terus berjalan ke hadapan.Namun,saya gembira dan akan sentiasa gembira apabila mendengar khabar sahabat-sahabat yang mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati masing-masing.Sambil berdo'a,saya mengharapkan agar mereka kekal sampai ke akhir hayat dan sabar menghadapi arus kehidupan yang semakin tak mudah di hadapan sana.
Untuk saya juga,ya saya berharap agar ada juga peneman dalam hidup ni tapi Alhamdulillah 'ala kulli haal,Allah Maha Tahu keadaan saya.Bagi saya yang hampir bertahun jatuh bangun dalam bab percintaan ni,ada sedikit 'kesukaran' untuk membuka hati dan menerima seseorang hadir dalam hidup saya.Ya,dan saya juga dah lali dengan sesetengah orang yang mengatakan saya ni memilih,cerewet,'demand' dan macam-macam lagi.Setiap kali kata-kata tu dilontarkan,saya hanya tersenyum kerana hanya kita yang tahu keadaan hati dan diri kita.Pendek kata,kita akan bersedia untuk hidup dengan seseorang dengan 2 keadaan,
sama ada kerana hati kita terikat dengannya setelah mengenalnya dan kita mencintainya,itu akan buat hati kita yakin dalam hidup ni untuk bersamanya seperti kenalan zaman sekolah,zaman kecil,universiti,
atau mungkin kita saling tak mengenal namun ada rasa ketenangan bila melihatnya membuatkan kita bersedia untuk hidup bersamanya dan membina cinta walaupun hati kita belum ada perasaan padanya,mungkin melalui pilihan keluarga atau teman-teman.

Sama ada ditakdirkan menikah atau tidak,saya akan terus melangkah dalam hidup ini mengejar baki cita-cita yang masih ada dan mampu untuk diusahakan.Dalam bulan Syawwal yang berbaki ini,ada beberapa daurah pengajian agama ada di sini untuk saya usahakan hadir.Saya mungkin gagal dan jatuh dalam usaha duniawi,namun saya akan usahakan untuk tak tewas dalam urusan akhirat.

Sebagai seorang Muslim,saya bersyukur kerana dalam apapun situasi,tetap ada inspirasi untuk kita ikuti.Sebagai seorang yang bujang,Imam an-Nawawi adalah contoh tauladan untuk saya ikuti sebagai seorang yang masih membujang.Jika berkahwin,lagilah banyak ikutan untuk saya jadikan panduan hidup ini.


Berkenaan dengan cinta tadi.Situasi dunia mungkin makin membimbangkan dan ekonomi mungkin mencengkam namun,2 hati yang saling mencintai tak kenal semua ni.Ia akan terus menempuh semua ni dalam susah senang bersama.Cinta tu 'gila',dan kegilaannya buat ia sanggup menempuh dan berkorban apa saja.Saya berharap sangat-sangat bagi pasangan yang telah berkahwin di luar sana banyak-banyak bersabar dengan keadaan ekonomi mendatang.Pilihlah untuk susah senang bersama,dan jadikan ungkapan perpisahan sebagai jalan terpaling terakhir untuk diputuskan.Pernikahan bukan hanya untuk situasi kesenangan,tapi juga ketika dalam kesusahan dan ujian.Waktu ni pentingnya 'kegilaan' cinta agar ikatan perkahwinan yang dibina terus kekal walaupun seteruk mana badai melanda.

Salam Syawwal dan jangan lupa merebut peluang untuk berpuasa 6 hari di bulan mulia ini 


Bermulanya Tahun 2026

 Pejam celik kehidupan.Kita dah masuk fasa seminggu dalam tahun baru Masihi 2026,bersamaan bulan Rejab 1447H menandakan kita dah menghampiri bulan Ramadhan yang penuh berkat.

Sebagai seorang yang ditakdirkan lahir dalam bulan Ramadhan,tentu sekali saya rasa teruja untuk menanti datangnya detik bulan yang berkat ini.Alhamdulillah.



Di celah-celah kehidupan yang penuh dengan ujian ini,Alhamdulillah الله masih mengurniakan kepada kita sebesar-besar nikmat iaitu menjadi seorang yang beriman kepada الله.Kenapa saya katakan ia sebesar-besar nikmat?Kerana sesusah manapun jalan hidup kita kat dunia yang sementara ni,tapi dengan adanya nikmat iman maka الله menjanjikan kebahagiaan yang berkekalan di akhirat kelak.Susah sekejap di dunia,bahagia berpanjangan di akhirat sana.

Berkenaan dengan kesusahan hidup di dunia ni,fahamilah kita sebenarnya bahawa tidaklah ada satu kesusahan yang pernah dialami oleh seorang mukmin melainkan kesemua kesusahan tu telah dilalui oleh kekasih kita,Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Bahkan,beratnya ujian yang dilalui oleh Baginda ﷺ sehingga diabadikan di dalam sejarah Islam bahawa ada satu tahun dipanggil sebagai Tahun Kedukaan bagi Sayyiduna Rasulullah ﷺ.Pada tahun itu,Baginda ﷺ kehilangan isteri tercinta yang menjadi pendukung utama dakwah dalam susah dan senang,Ummul Mu'minin Sayyidatuna Khadijah al Kubra kemudian Baginda ﷺ diuji lagi dengan kehilangan bapa saudara yang sentiasa melindungi Baginda ﷺ daripada gangguan musyrikin Quraisy,Abu Thalib.Hikmahnya,الله ingin mendidik kita umat Baginda ﷺ bahawa ujian tak selamanya kekal.Seperti hujan,ia bermula renyai-renyai kemudian lebat,dan akhirnya renyai-renyai kembali sebelum berhenti.

Pada tahun itu,di malam 27 Rejab الله memuliakan dan menghiburkan kesedihan Baginda ﷺ dengan malam Isra' wal Mi'raj yang berakhir dengan pensyariatan solat 5 waktu seperti yang kita lakukan pada hari ini.


Pelajarannya,setiap ujian dalam hidup ni ada permulaan dan pengakhirannya.Walau sesusah manapun hidup,jangan putus asa daripada berdo'a dan bermunajat kepadaNya sebab do'a adalah wasilah munajat di antara seorang hamba yang lemah dengan Tuhannya yang menciptakannya dan Pemilik Segala Alam ini.

Al Imam Jamaluddin Muhammad bin Abdullah Alaydrus,رحمه الله تعالى،di dalam kitabnya al Idhoh Asrar Ulum al Muqarrabin menyebutkan beberapa kaedah agar hajat yang kita panjatkan kepada الله dimakbulkan.

Pertamanya,beliau mengatakan bahawa berdoa itu adalah saripati atau otak bagi ibadat.Bayangkan kita memiliki pati essential oil yang pekat asli dengan baunya yang wangi dan menenangkan.

Imam Alaydrus menerangkan tentang adab-adab seorang yang ingin berdoa kepada الله,

1. Berdo'alah dalam keadaan khusyuk.Ya,khusyuk yang hakiki sebenarnya adalah anugerah pemberian daripada الله,tetapi kita boleh berusaha secara zahir untuk menjadi wasilah mendapatkan khusyuk.Usahanya ialah kita latih khusyuk itu sebelum memulakan doa lagi.Antaranya dengan memperelokkan wudhu' dan solat kita.Jaga kesempurnaan dalam solat,jaga perkara² sunat yang ada pada solat.Kemudian kita berdoa dengan fokus,tenang,tak gopoh gapah waktu berdoa,hadirkan hati,bersungguh² berdoa dengan jiwa raga & tak fikirkan benda lain selain daripada apa yang kita hajatkan.

2. Zahirkan kerendahan hati kita dan kemiskinan kita kepada الله,tunjukkan ketika berdoa tu keadaan fizikal dan hati kita perlu kepadaNya.Antaranya seperti pendapat Imam Ramli iaitu merapatkan kedua tangan kita ketika berdoa,kemudian jadikan paras kedua tangan kita separas bahu ketika berdoa dengan hati yang pecah,khusyuk & ikhlas.Adapun,Imam Alaydrus pula menganjurkan waktu berdoa tu,kita letakkan tangan kanan kita di atas tangan kiri kita sebagai tanda perlu kepadaNya.

3. Carilah waktu² yang afdhal dalam berdo'a.Imam.Alaydrus meriwayatkan bahawa di antara waktu yang afdhal dalam berdo'a ialah pada waktu sahur atau separuh daripada malam(lebih kurang pukul 2 atau 3 pagi),kerana waktu² tersebut hampir dengan saat doa dikabulkan.

4. Haa ni yang paling penting.Inti kepada pengkabulan doa ialah berusaha makan makanan yang halal lagi baik kerana ia adalah sebab utama doa dimakbulkan.Maksud halal lagi baik tu bukan makanan 5 bintang yang mahal-mahal,tetapi makanan yang jauh daripada syubhat.Yang lagi elok,kita usaha beli barangan buatan Muslim.Tengok cop Halal yang betul² diiktiraf sebelum bayar.Apa yang kita makan memberi kesan dekat perilaku kita.Kalau berkemampuan,kita masak sendiri di rumah atau kita memilih untuk makan di kedai yang sopan pemakaian zahir empunya kedai makan.Nampak tuan kedai pakai pakaian tutup aurat,jaga solat...in sya Allah makanan yang kita makan tu bukan saja halal,tapi toyyiban.

Berkenaan dengan jangan tergesa² nak الله makbulkan doa kita,Imam Ibn Atha'illah as Sakandari,رحمه الله,di dalam at Tanwir fi Isqat at Tadbir,menukilkan adab dalam memperelokkan cara meminta kepada الله,iaitu jangan tergopoh-gapah dalam menanti perkenan do'a daripada الله.Boleh berdoa tu pun dah kira rezeki kerana ramai mana yang terhalang daripada berdoa meminta kepada الله.

Begitu juga beliau berpesan,jangan waktu berdo'a tu hanya meminta perkara dunia semata² tetapi utamakanlah permintaan yang membawa kepada keredhaan الله.Jadikanlah doa itu sebagai tempat untuk bermunajat kepada الله.Setiap hajat dan keinginan yang الله hadirkan dalam hati kita sampai kita jadi nak berdoa kepada الله,sebenarnya adalah wasilah daripada الله untuk kita bermunajat mengadu kepadaNya.

Yang terakhir(sebenarnya kalau kita himpunkan adab² berdoa daripada kedua kitab ni memang tak cukup sampai di sini.Tetapi saya kongsikan yang inti² kadar kemampuan kita untuk menjaga adab dalam meminta kepadaNya),janganlah kita meminta sesuatu yang di luar kemampuan kita untuk menanggungnya.Mintalah kecukupan daripada الله.Cuba lihat doa Baginda ﷺ ini,

اللهم اجعل قوت آل محمد كفافاً

dengan doa ini,الله cukupkan keperluan hidup Baginda ﷺ dan ahli keluarga Baginda ﷺ.

Jangan meminta kemewahan sepertimana yang terjadi pada Tsa'labah yang meminta Baginda ﷺ mendoakannya agar dikurniakan limpahan kekayaan lalu Rasulullah ﷺ bersabda,

"Wahai Tsa'labah,sedikit yang membawa kepada kesyukuran itu lebih baik daripada kemewahan yang membawa kepada kelalaian,"

3 kali Baginda ﷺ menasihati perkara yang sama dan 3 kalilah Tsa'labah tidak mahu mendengarnya.Lalu terjadilah apa yang terjadi,yang akhirnya kekayaan itu memakan diri Tsa'labah sendiri.

نسأل الله السلامة والعافية

Sekadar itulah dulu perkongsian saya untuk kali ini.Semoga dengan berkat 27 Rejab,di Hari Jumaat terakhir dalam bulan indah ini sebagaimana الله menghiburkan hati Baginda ﷺ dan mengangkat kesedihan Baginda ﷺ melalui nikmat Isra' dan Mi'raj,begitu juga kita harap الله memuliakan kita umat Baginda ﷺ ini dengan jalan keluar daripada segala kesusahan & kesempitan


Dan Tahun 2025 Pun Berakhir

Alhamdulillah di atas kurniaan Allah,kita sampai di penghujung tahun 2025 setelah pelbagai perkara kita tempuhi yang buat kita jatuh bangun,dan akhirnya kita hampir sampai ke titik penghujung untuk tahun ini.Adapun untuk tahun Hijri,kita dah masuk bulan Rejab.Kurang 3 bulan lagi kita akan sampai ke bulan Ramadhan jika diizinkan الله.

Menghadapi hidup pasca PKP untuk saya,bukanlah sesuatu yang mudah.Dengan usia yang masih muda,masih ada cita-cita tapi ditakdirkan dengan laluan berbeza yang tak dijangka.Namun,apa sekalipun jalan hidup ni tetaplah kekalkan rasa syukur dalam hati.Sebab apa?Kerana serumit mana jalan hidup yang الله tentukan,Dia mengekalkan nikmat terbesar yang tak mampu ditandingi oleh suatu apapun;nikmat keimanan,nikmat rasa bahawa diri ini seorang hamba yang menyembah الله semata-mata tanpa mensyirikkanNya dengan suatu apapun.Alhamdulillah.

Walaupun kita mungkin diuji dengan sedikit kesusahan di dunia,tapi selagimana kita bangun pagi ada tempat tinggal untuk berteduh,ada makanan dan minuman untuk dikecapi,ada keluarga yang sentiasa menyokong di sisi,ada peluang untuk belajar agama,ada nikmat guru dalam kalangan ulama' yang sentiasa membimbing dan memberi perhatian....jika semua ini nak ditukar dengan nikmat duniawi,nescaya nikmat² tadi tak ternilai harganya berbanding dunia yang sementara ni.

Rasulullah ﷺ ada berpesan tentang panduan untuk kita rasa bahagia dengan apa yang ada,

من أصبح منكم آمنًا في سرْبه،معافًى في جسده،عنده قوت يومه،فكأنما جيزتْ له الدنيا

"Sesiapa yang berpagi-pagi daripada kamu dalam keadaan aman pada tempat kediamannya,sihat tubuh badannya,di sisinya ada makanan yang mencukupi untuk harinya itu maka,seolah-olah telah dihimpunkan baginya dunia ini."

(Riwayat Imam al Bukhari dalam Adab al Mufrad,Imam Tirmizi & Imam Ibn Majah)

Apapun,kita tetap berusaha untuk mencari kehidupan yang lebih baik walaupun masih belum berpihak pada kita.Namun,selagi kita berusaha,yakin dan bersangka baik dengan الله,selagi itulah kita dapat pahala dan kebaikan di sisi الله.

 انتظار الفرج عبادة

Sabda Sayyidina Rasulullah ﷺ,

"Bermula sebaik² ibadah itu ialah menunggu jalan keluar."

(Riwayat di dalam Jami' Imam Tirmizi)

Di antara sunnah Baginda ﷺ,sentiasa optimis & berharap yang baik kerana di situ ada nilai keimanan yang tinggi iaitu sentiasa bersangka baik dengan Allah.

Dalam hadith Qudsi,الله berfirman,

“Aku adalah berdasarkan keyakinan hambaKu terhadapKu & Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu”. 

(Muttafaq Alayh)

Alhamdulillah,di celahan jatuh bangun dalam hidup untuk tahun ni,saya bersyukur kepada الله kerana nikmat yang selama ni saya sangka tak mampu untuk dapatkannya,tak disangka-sangka الله menunjukkan jalannya...iaitu dibuka jalan dan peluang untuk belajar salah satu ilmu untuk menguasai Bahasa Arab,iaitu ilmu Nahu.


Sehingga pena ini ditulis,Alhamdulillah saya dah hampir menyelesaikan pengajian khusus dengan guru saya dalam Matan al Ajrumiyyah,sebuah matan asas untuk memahami ilmu Nahu di mana saya mula membaca secara khusus sejak bulan Zulhijjah.Cadangnya dikhatamkan sebelum Ramadhan ini sebelum masuk pada pengajian syarah bagi matan tersebut pada bulan Syawal nanti jika diizinkan الله.

Sejarah saya dengan bahasa Arab ni bukanlah setahun dua tapi sejak zaman sekolah lagi.Pendek kata,ayah saya inginkan saya menjadi seorang ustaz.Hari pertama saya mula masuk sekolah menengah,saya dihantar ke sekolah menengah agama di kampung saya.Namun adat budak remaja,sebab sekolah itu tiada kawan² lama dari sekolah rendah maka pada hari kedua saya berpindah ke sekolah menengah biasa yang pada ketika itu hampir separuh rakan sekelas saya waktu sekolah rendah dulu ada di situ sebelum sebahagian kecil daripada mereka berpindah kerana mendapat tawaran bersekolah di sekolah berasrama penuh.Tetapi,sekolah menengah tersebut ada aliran bahasa Arab cuma saya tetap memilih aliran biasa.

Saya juga di 'brainwash ' daripada beberapa orang teman bahawa bahasa Arab ni susah.Ada yang kata,siapa yang pandai Matematik maka bolehlah kalau dia nak kuasai bahasa Arab sebagai gambaran payahnya subjek bahasa Arab itu.

Sehinggalah tahun-tahun seterusnya,saya mula belajar agama dengan beberapa orang asatizah setiap kali pulang daripada sekolah.Kebiasaan guru saya ada yang membaca kitab Arab,jadi saya hanya mampu melihat kitab tersebut tanpa tahu ibaratnya sebab tak ada kemahiran untuk mengi'rab kitab Arab yang dipelajari.Kemudian,perjalanan saya dengan Bahasa Arab semakin menjauh seolah-olah kami tak mungkin bertemu lagi apabila saya melanjutkan pengajian diploma dalam bidang Kejuruteraan Melanikal,tanpa disedari tahun-tahun ke depan saya dilorongkan semula jalan untuk belajar Bahasa Arab ini.Kata orang tua-tua,

"Kalau dah jodoh,tak kemana..."

Pada tahun 2016,saya mula hadir ke daurah Matan al Ajrumiyyah yang dianjurkan oleh guru saya.Namun,ia tidak memadai untuk orang yang 'zero' macam saya.Cuma Alhamdulillah saya mendapat sanad yang bersambung kepada pengarang matan ini melalui guru saya tersebut yang bersambung dengan Almarhum Tuan Guru Hj Hashim Pasir Tumboh,seterusnya kepada al Musnid ad Dunya Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al Fadani hingga ke pengarang.Di akhir daurah tersebut,guru saya mengijazahkan kami dengan syarat jika nak mengijazahkan kepada orang lain hendaklah kami menguasai dulu matan ini barulah diizinkan untuk memberi ijazah kepada orang lain.Ini adalah satu amanah untuk kami.

Hari-hari pun berlalu.Saya banyak ikuti kelas pengajian online bahasa Arab namun,hampir kesemuanya saya tak faham.Sampailah tahun ini,sahabat saya daripada Selangor buat daurah 5 hari tentang ilmu Nahu dan Sorof di Terengganu.Saya mengikuti sepenuhnya daurah tu.Sepanjang daurah tu,saya nampak gambaran sedikit sebanyak tentang kaedah Nahu dan Sorof.Dan Alhamdulillah,sahabat saya tersebut mencadangkan saya belajar bahasa Arab dengan seorang ilmuan muda dari Terengganu yang baru pulang mengaji di Mauritania(dipanggil Syanqit).Selepas itu,saya mencari ilmuan tersebut dan Alhamdulillah,dapat bertemu dan mengaji dengan beliau.

Begitulah sedikit sebanyak perjalanan saya untuk tahun ini.Masih ada lagi kisah yang lain namun kisah ini antara anugerah besar yang الله hadiahkan untuk tahun ini.Walaupun mungkin dari sudut keduniaan ia kelihatan tak bernilai namun,bagi saya ia satu permulaan yang baik untuk tahun-tahun seterusnya agar dapat jadi jambatan untuk manusia biasa yang bukan pelajar agama seperti saya ni menguasai ilmu Syari'ah selain daripada ilmu duniawi di zaman yang mencabar ni.

Sama-sama kita berdoa agar tahun-tahun mendatang ada kebaikan daripadaNya untuk kita,dipelihara daripada segala fitnah dan mehnah dan dibukakan pintu-pintu kebaikan.

Selamat Menyambut Tahun 2026 dan Selamat Menyambut bulan Rejab yang mulia.


Seruan Di Bulan Zulhijjah : Sebuah Travelog (Akhir)

 Seingat saya pada pagi itu saya baru keluar bekerja dan sedang berada di atas motorsikal.Deringan telefon berbunyi dan terpapar nama ibu saya pada skrin.Ibu meminta saya check kalau-kalau saya ada menerima mesej di telefon saya.

Sebenarnya ketika panggilan pertama haji pada bulan Januari 2024 nama kami tiada,dan ia merupakan minggu terakhir Kursus Haji diadakan.Saya sedikit kecewa(sebenarnya berat juga kecewa saya kerana adat manusia,apabila terlalu berharap kemudian apa yang diharapkan menjadi sebaliknya memang terasa kecewa di hati),sehingga kekecewaan itu membawa saya untuk tak hadir kursus haji minggu yang terakhir.Kursus akhir tersebut melibatkan praktikal di luar masjid.Saya pasrah dan anggap belum ada rezeki untuk kami pada tahun itu.Cukuplah berharap.Saya pula,mungkin atas sebab pengalaman kekecewaan masa lalu,banyak benda yang saya tak terlalu berharap dalam hidup ini.

Bukan putus asa,tetapi setiap kali ada sesuatu perkara yang saya nak buat maka saya akan solat hajat dan istikharah terlebih dahulu kemudian disusuli dengan do'a sekiranya perkara tersebut baik untuk urusan agama dan kehidupan saya semoga dipermudahkan.Jika sebaliknya,semoga dijauhkan.Selepas itu,baru saya berikhtiar.

Saya melakukan itu semua supaya jika apa yang saya harapkan tak terjadi,saya taklah putus asa.Paling kurang saya bersangka baik,mungkin apa yang saya minta itu tak baik untuk saya dan akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik oleh Allah pada masa akan datang.

Cuma ketika saya dah tak berharap,kedua orang tua saya masih yakin yang rezeki kami untuk menunaikan haji pada tahun itu masih ada.Begitulah,keyakinan yang ada pada orang tua lebih kuat kerana mereka lebih optimis dengan arus hidup di dunia ni berbanding dengan orang muda seperti saya.

Berbalik pada kisah mesej tadi.Setelah saya membaca mesej yang diterima,jelaslah bahawa saya terpilih untuk menunaikan haji pada panggilan yang kedua.Alhamdulillah.Senyuman terukir dan sedikit rasa sebak kerana seperti yang telah saya maklum bahawa saya dah tak berharap namun itulah perancangan daripada Allah.

Ringkasnya,saya terus pulang ke rumah dan bawa kedua orang tua saya untuk menyelesaikan urusan haji secepat yang mungkin.Pada saya,benda yang baik tak sepatutnya dilambat-lambatkan.

Berkenaan dengan ketepatan masa dan tak suka bertangguh ni,saya terbiasa dengan sikap ini setelah 5 tahun lebih saya berurusan di tempat kerja dahulu dengan seorang pengurus senior Petronas Carigali di Kerteh.Beliau banyak mendidik saya tentang ketepatan masa dan jangan mudah bertangguh dalam urusan kerja.Sehingga hari ini,itulah prinsip yang saya pegang walaupun sikap itu kadang-kadang tak berapa disukai oleh segelintir orang.

Tanpa bertangguh lama,dalam beberapa minggu tersebut kami menyelesaikan pemeriksaan kesihatan,urusan passport & Visa Bio.Kami antara yang terawal menyerahkan dokumen tersebut di pejabat Tabung Haji.Alhamdulillah,semuanya dipermudahkan oleh Allah.

Setelah berbincang,kami memilih untuk ke Mekah terlebih dahulu sebelum ke Madinah.Alasannya,agar kami selesaikan dahulu ibadah haji dan setelahnya kami menziarahi Sayyidina Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di Madinah sebelum pulang ke tanah air.

Hampir keseluruhan besar jemaah haji negeri Terengganu pada tahun itu memilih untuk ke Madinah.Hanya sebahagian kecil termasuk kami yang akan terus ke Mekah.Jadi ketika di dalam flight,hanya 2 keluarga sahaja daripada Terengganu.Selebihnya daripada negeri lain.Kami melapor diri terus di Movenpick Sepang sebelum naik bas beramai-ramai ke KLIA sambil diiringi oleh pihak polis.Turut bersama kami di dalam penerbangan tersebut ialah Mufti Selangor,Sahib as Samahah Dato Dr Hj Anhar Hj Opir.Saya sempat melihat beliau ditemubual oleh wartawan media Arab di ruang menunggu untuk berlepas di KLIA.Begitu juga ketika hari terakhir melontar di Mina,saya terserempak dengan beliau berjalan seorang diri pulang daripada melontar.

Kami dapat tahu keputusan jadual penerbangan ketika pertengahan bulan Ramadhan.Saya masih ingat ketika itu waktu petang selepas Asar.Sebelum ke tempat kerja,saya menyemak THijari.Waktu itu keluar jadual penerbangan di mana kami akan berlepas ke Mekah pada akhir bulan Mei.

Saya memaksimumkan masa yang ada dengan bekerja bagi mengumpul duit sebagai bekalan untuk ke sana.Saya bekerja part time di bulan Ramadhan sebagai penjual di bazar sehingga sehari sebelum menyambut Aidilfitri.Maklum,saya bukanlah orang kaya.Hanya lelaki kampung biasa-biasa.Sekurang-kurangnya ada sedikit bekalan untuk menampung selama sebulan lebih berada di sana.

Flight kami berlepas ke Mekah lebih kurang pukul 2 pagi.Pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Saudi Arabia Airlines yang kami naiki membelah langit meninggalkan bumi Malaysia dan selamat tiba di Jeddah awal pagi selepas Subuh.Saya dimaklumkan bahawa penerbangan awal ke Madinah kebanyakannya melalui pesawat Airbus A330 milik Malaysia Airlines.

Alhamdulillah sepanjang berada di sana,saya direzekikan sebilik dengan teman-teman yang baik.Kami ditempatkan di Land Premium Hotel di kawasan Misfalah.Hotel tersebut besar dan sangat selesa.Saya tak ingat hotel tu berapa tingkat tetapi di ruang atap ada mesin basuh dan juga tempat untuk kami menjemur kain.Kami sebilik dari Terengganu,Perak,Johor dan Pulau Pinang.Sejak di Mekah sampai ke Mina kami bersama,sehinggalah tiba di Madinah barulah saya berpisah bilik dengan mereka.

Papan tanda arah menuju ke Masjidil Haram dari Misfalah

Ketika ini jemaah haji daripada Maghribi baru sampai di hotel penginapan mereka.

Antara tempat yang paling menyeronokkan bagi orang muda seperti kami ialah ketika di Arafah,Mudzalifah & Mina.Rakan sebilik saya ramai yang sebaya usia saya maka,kami sama-sama berpakat untuk berkhidmat membantu warga tua sepanjang berada di ketiga-tiga tempat tersebut.Yang mana tersesat,kami menjadi penunjuk jalan.Yang mana uzur,kami tolong pimpinkan.Bahkan,ketika melontar di Mina pun kami bergerak bersama-sama.Suasana di Mina tak ubah seperti perkhemahan di zaman sekolah dulu.Walaupun sempit,tapi satu kenangan indah untuk kami.

Suasana matahari terbenam di Arafah,sebelum masing-masing bersedia untuk solat Maghrib sebelum ke Mudzalifah

Gambar terakhir di Mina sebelum pulang ke hotel

Dan yang terakhir,saat paling berat saya rasakan ialah sewaktu kami ingin meninggalkan Madinah.Awalnya,kami bertolak daripada Mekah selepas Zohor menuju ke Madinah.Pada paginya,kami selesaikan tawaf wada'.Suasana selepas haji di dataran tawaf berhampiran Kaabah belum ramai jadi kami masih dapat melakukan tawaf di ruang tersebut.

Perjalanan daripada Mekah ke Madinah mengambil masa lebih kurang 8 jam dengan menaiki bas.Kami sampai lebih kurang pukul 10 malam di Madinah dan ditempatkan di hotel Emaar Royal,sangat dekat dengan Masjid Nabawi.Ketika kami sampai di Madinah,saya teruja melihat kubah hijau Masjid Nabawi di pertengahan jalan dengan suasananya yang cerah disinari cahaya.Bagaikan mimpi,selama ni saya hanya melihat di dalam gambar tapi pada hari tersebut saya menjejakkan kaki sendiri ke sana.

Seperti mimpi,melihat Masjid Nabawi di depan mata

Selama 5 hari kami di Madinah,tibalah masa untuk pulang ke tanah air.Selama 5 hari tersebut,saya mengambil peluang untuk menziarahi Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam hampir setiap waktu selepas solat,menggunakan segala ruang dan kesempatan yang ada sebagai insan biasa yang belum tahu bila lagi ada peluang untuk ke sana.Selama di sana juga kami sempat dibawa ke Masjid Quba' dan kawasan perkuburan Baqi'.

Penerbangan pulang kami pada awal pagi di bulan Julai selepas Subuh.Pada malam sebelumnya,saya melakukan ziarah wada' sebelum kami bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah dan ia adalah perkara yang paling berat dalam hidup.Lebih berat daripada perasaan patah hati yang pernah saya lalui suatu masa dahulu.Hanya Allah Maha Tahu bilakah lagi saya akan menjejakkan kaki ke bumi Madinah yang berkat ini.

Sehingga ketika di dalam penerbangan sebelum pesawat yang saya naiki berlepas,saya melihat bumi Madinah melalui tingkap kapal terbang dengan hati yang berat...sehinggalah pesawat berlepas ke langit yang menjadikan tanah Madinah yang berkat itu semakin mengecil dan menjauh.

Kami selamat tiba di KLIA pada hari Jumaat malam,dengan kepulangan kami disambut oleh staf Tabung Haji dan ahli keluarga.Alhamdulillah.

Setibanya di KLIA,sempat merakamkan buat kali terakhir pesawat yang membawa kami pulang ke tanah air daripada Madinah

Seperti yang saya katakan di awal penulisan travelog ini,pengalaman pertama kali menunaikan haji ini adalah pengalaman yang paling berharga di dalam hidup dan tersemat selamanya di dalam hati.Seandainya suatu masa nanti saya ditakdirkan untuk sampai ke sana buat kali kedua,tetaplah pengalaman yang pertama itu menjadi kenangan terindah dalam hidup.

Kalau nak diceritakan lebih detail tentang pengalaman dan kisah yang dilalui sepanjang berada di sana,penulisan ini takkan berakhir di sini namun saya meringkaskannya agar ia menjadi sebuah travelog mini yang menghiasi blog saya yang sederhana ini.

Seruan Di Bulan Zulhijjah : Sebuah Travelog (2)

Di suatu petang pada 24 Oktober 2023 ketika saya sedang rehat selepas pulang daripada kerja,tiba-tiba bunyi deringan mesej masuk ke telefon bimbit saya.

Setelah membaca isi mesej tersebut,hati saya berdebar-debar dan tertanya-tanya.Adakah tahun depan saya akan menunaikan haji?Ketika itu saya memang betul-betul lupa yang saya dah mendaftar haji.

Deringan mesej tersebut bukan saya seorang saja yang dapat tapi kedua orang tua saya juga mendapat mesej yang sama.Kami mendapat jemputan daripada Tabung Haji untuk menyertai Kursus Haji yang akan bermula tak lama lagi.Ketika itu,tahulah saya bahawa jangkaan kami akan menunaikan haji pada tahun depan jika diizinkan Allah.

Bermula daripada itulah saya terus fokus menghadiri Kursus Haji mingguan tersebut yang bermula pada akhir tahun 2023 sehingga awal tahun 2024.Sebelum itu,saya pernah belajar mengenai haji dan umrah daripada beberapa orang ustaz.Di antaranya kelas talaqqi bab Haji melalui kitab Mathla' al Badrain dan menghadiri kursus khas di madrasah pondok seorang Tuan Guru.Sayangnya,saya tak pernah ambil serius tentang setiap kelas tersebut kerana dikira atas kemampuan saya ketika itu tak terbayang dalam hati yang saya juga akan menjadi tetamu Allah suatu masa nanti.Pengajian bab Haji & Umrah juga terasa sangat susah untuk difahami ketika itu kerana saya tak nampak pergerakan ibadah haji & umrah tu secara praktikal.Bak kata pepatah, 'Tak Kenal,Maka Tak Cinta'.

Sehinggalah saya mendapat mesej jemputan Kursus Asas Haji daripada Tabung Haji.Ketika itu baru saya bersungguh-sungguh menghadiri setiap kursus yang diadakan(kecuali minggu terakhir) ,dan berusaha memahami betul-betul setiap ilmu tentangnya.Bila dah kenal dan faham,bertambahlah rasa cinta sampai saya terlupa yang bab Haji & Umrah inilah yang paling saya tak ambil serius ketika di dalam kelas pengajian dahulu.

Saya mula mengikuti kursus intensif selain yang dianjurkan oleh Tabung Haji,di antaranya kursus haji anjuran Rayhar Travel sehingga beberapa minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci saya masih hadir kursus terakhir berkaitan ibadah Haji di Masjid UniSZA,Kuala Nerus,bersama Prof Madya Dr Jamalluddin yang merupakan Pembimbing Ibadah Haji walaupun ketika itu saya dalam keadaan demam yang berat.

Namun kursus itulah yang paling bermanfaat di saat terakhir kerana Prof Madya Dr Jamalluddin menerangkan secara ringkas & padat tentang tatacara ibadat Umrah & Haji satu persatu dari awal sampai akhir,dan salinan nota yang beliau susun itulah yang saya bawa ke Tanah Suci sebagai panduan untuk saya buat checklist & rujukan.

Selain itu,saya juga mula membaca dan mencari ilmu tentang usaha yang boleh diikhtiarkan untuk mendapatkan haji yang mabrur.Maklum saja,keadaan saya yang serba kekurangan ni menjadikan saya terpaksa berusaha lebih sedikit agar bila saya betul-betul terpilih nanti,saya dapat memanfaatkan peluang sekali seumur hidup itu untuk buat yang terbaik (meskipun setelah pulang ke Tanah Air,masih banyak kekurangan yang saya rasa belum mampu saya lakukan sepanjang berada di Tanah Suci. Allah Maha Tahu kemampuan hambaNya yang lemah & Dia merahmati para hambaNya yang sedar kadar kemampuan dirinya) 

Ibadat haji hampir kesemuanya berbentuk amali,namun ibadat berbentuk hati wajib juga dijaga agar peluang untuk mendapatkan haji yang mabrur terbuka.Sifat-sifat mazmumah seperti riya',sombong,tak sabar,bergaduh di Tanah Suci dan lain-lain kena usaha untuk dielakkan semaksimum yang mungkin.

Saya juga membeli sebuah buku tentang Fadhilat Haji,Umrah Dan Ziarah susunan Maulana Zakariyya al-Kandahlawi,rahimahuLlah.Buku itulah yang saya baca berulang kali di rumah sehingga ke Tanah Suci atas saranan daripada beberapa orang ulama,selain saya juga meminta salah seorang guru saya membacakan tentang adab-adab ketika menunaikan Haji daripada kitab Anwar al-Qudsiyyah fi Bayan al-Uhud al-Muhammadiyyah susunan al-Imam Abdul Wahhab asy-Sya'rani,rahimahuLlah.


Bersambung...

Seruan Di Bulan Zulhijjah : Sebuah Travelog (1)

  Setiap orang pasti sukar untuk melupakan kenangan yang indah kali pertama dalam hidup.Seperti kali pertama jatuh cinta di zaman sekolah,walaupun ia tak berakhir dengan cerita indah seperti di dalam filem namun ia akan sentiasa tersemat di dalam hati sehingga ke akhir hayat.

Ciri-ciri insan pertama yang kita cintai itu mungkin akan terbawa-bawa sebagai indikator bagi pengalaman jatuh cinta seterusnya sehingga kita ditakdirkan bertemu dengan pasangan hidup yang Allah dah tetapkan untuk kita.

Begitulah juga dengan pelbagai kenangan lain di dalam hidup.Sesuatu yang pertama kali dilalui akan memberi kesan pada jiwa.

Sebuah travelog pertama yang saya pernah lalui di dalam hidup ialah ketika menyahut panggilan Haji pada tahun lepas.Seperti mimpi,seorang lelaki kampung seperti saya ni yang tak pernah tergambar di fikiran akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya ditakdirkan oleh Allah untuk ke sana bagi menunaikan Rukun Islam ke-5 di usia yang masih muda;awal 30-an.

Sebelum ini saya pernah berkelana ke negara orang,hampir seminggu ke Indonesia bersama beberapa orang rakan.Ketika itu masih dalam proses sembuh daripada patah hati kerana ketika itu saya bercita-cita untuk menamatkan zaman bujang di usia 25 tahun.Namun kerana wanita tersebut pada perkiraan saya,keluarganya dah aturkan dia dengan lelaki yang saya akui lebih baik daripada saya akhirnya saya belajar untuk melupakannya.

Dia seorang wanita yang baik.Berkaca mata,sopan,bertudung bawal dan tak ikut 'trend' moden ketika itu cuma di akhirnya saya dapat tahu dia daripada keluarga orang yang berada.Kami berakhir dengan baik,dan saya masih ingat kata-kata terakhir saya ucapkan padanya pada petang itu.Itulah saat terakhir saya melihatnya.Melaluinya saya dapat tahu bahawa lelaki itu telah diatur oleh keluarganya.Lalu saya berpendapat agar dia kekal dengan lelaki itu kerana sesuatu yang dah diaturkan oleh keluarga itu lebih baik.Apatah lagi jika saya masuk dalam keadaan keluarganya tak menerima saya,itu akan lebih memeritkan untuk saya hadapi di masa-masa mendatang.Adakalanya walaupun keputusan yang kita buat tu akan mematahkan hati namun,atas dasar kematangan yang perlu kita bina walaupun pahit.....kita lepaskan juga sesuatu yang kita tahu ia takkan jadi milik kita.

Berbalik tentang cerita travelog ni.Untuk menunaikan haji,bukanlah seminggu tempoh yang saya lalui untuk meninggalkan tanah air tercinta,tetapi lebih daripada sebulan saya akan bermukim di sana.Budaya yang berbeza,suasana,cara makan dan kehidupan yang berbeza sepanjang berada di sana namun itulah pesan pujangga,

'Jauh perjalanan kita,luaslah pengalaman.'

Travelog ini bukan bermula setahun dua,tapi seawal tahun 2009 yang saya pun dah lupa bahawa tahun tersebut saya mendaftar haji bersama kedua orang tua saya.Ketika itu baru tamat sekolah dan sedang menunggu keputusan SPM.Mungkin sebagai tanda menuju dewasa,saya dibawa oleh abah ke Tabung Haji untuk menukar status akaun daripada diurus oleh abah kepada diri saya sendiri sebagai pengurus akaun.Ketika proses penukaran nama tu,kami terus mendaftar untuk Haji dengan bayaran deposit RM 1,300 sebagai simpanan pendaftaran Haji.Seingat saya,tertulis di kertas pendaftaran tersebut yang kami mendaftar untuk menunaikan Haji pada awal bulan Mac 2009 dan tertulis tahun 2024 sebagai tahun giliran.



Tahun demi tahun,kertas pendaftaran tu tak pernah dibuka.Hanya disimpan rapi di dalam begi simpanan buku akaun bank dan saya pun dah lupa....dengan disibukkan urusan dunia dan keseharian hidup,melalui suka duka,pahit manis,jatuh bangun kehidupan.Sehinggalah pada satu hari,di bulan Oktober 2023 telefon bimbit saya berbunyi menandakan ada mesej masuk.


Bersambung.....

Tentang Syukur

 Assalamualaikum,

Pertama kali saya kembali aktif di dalam blog ini.Sebelum ini,mungkin kali terakhir hampir 10 tahun yang lalu,saya aktif dalam menulis satu blog yang saya pun dah tak dapat nak buka.Hanya dapat jadi pembaca walaupun blog itu sebenarnya milik saya.Mungkin ini yang dikatakan 'hanya mampu melihat dari jauh tanpa memiliki ' 😅

Alhamdulillah 'ala kulli haal.Blog tu dah jadi kenangan.Nak buka pun dah tak dapat,jadi yang lepas kita biarkan ia berlalu.Tahun semakin hari semakin ke depan bukan ke belakang.Adakalanya kita perlu menerima hakikat ada sesuatu yang pernah menjadi milik kita suatu masa dulu,tapi akhirnya ia pergi.Kenapa?Kerana sifat dunia ni semuanya bersifat pinjaman.Kita hanya menggunakan apa yang telah diberi oleh Pemiliknya.Apa yang ditakdirkan untuk kita,ia akan sampai kepada kita dan apa yang bukan milik kita,ia tetaplah takkan datang pada kita.

Di zaman materialistik ni,kita didedahkan dengan media sosial yang sangat kuat pengaruhnya.Ya,saya tak terkecuali.
Seolah-olah hampir semua perkara nak dihebohkan kepada orang lain,walaupun orang tu kita tak kenal pun.Baik yang kita nak kongsikan tu dari sudut keluarga kita,kerjaya,perkahwinan,pasangan hidup,harta yang kita miliki dan sebagainya.
Mungkin ada sebahagian daripada kita yang hidupnya tak semewah orang lain akan terkesan dengan 'post' orang lain di media sosial lalu lahirlah perasaan kurang bersyukur.Ya,saya tak nafikan ia akan memberi kesan dalam hidup seseorang.Lebih-lebih lagi satu perkara yang kita kena akui ialah zaman sekarang situasi ekonomi tak berapa nak memberangsangkan,ramai orang hilang kerja,ramai orang terpaksa menempuh keperitan dunia yang semakin rapuh ni.

Akhirnya,segala keluh-kesah ni akan buat kita letih dan sedikit kehilangan pedoman dalam hidup sehingga melahirkan rasa tidak bersyukur dengan apa yang telah kita miliki dalam hidup ni.

Kita mungkin tak sekaya orang lain,tapi bersyukurlah jika kita masih ada keluarga yang masih mencintai kita.
Kita mungkin tak semewah orang lain,tapi bersyukurlah jika kita memiliki pasangan hidup yang tetap setia di dalam susah dan senang.Antara perkara yang sangat susah untuk kita cari di zaman ni adalah pasangan yang setia susah senang dengan kita dalam hidup ni,mencintai kita tanpa syarat.

Kita mungkin tak semampu orang lain,tapi bersyukurlah bila kita masih ada tempat untuk berteduh,masih ada kesihatan yang baik untuk meneruskan baki-baki usia kita yang masih ada.

Tak ada ubat di zaman materialistik ni untuk kita terus kuat,melainkan kita,

  • Sentiasa latih hati untuk bersyukur dengan apa yang kita ada.
  • Kurangkan masa kita dengan media sosial.Limitkan masa kita dengannya sehingga kita banyak masa di dunia sebenar berbanding dunia maya.Kembali pada fitrah.
  • Tak putus asa dalam berdoa memohon pertolongan Allah agar dicukupkan kehidupan kita
  • Sentiasa bersangka baik dengan Allah yang Allah takkan sekali-kali menghampakan kita.
Mungkin hari ni kita tak bernasib baik macam orang lain,tapi esok lusa belum tentu.Macam lirik lagu Batas Senja :Kita Usahakan Lagi :

"Jika tidak hari ini,mungkin minggu depan...
Jika tidak minggu ini,mungkin bulan depan....
Jika tidak bulan ini,mungkin tahun depan....
Segala harapan kan datang yang kita impikan..."


Dunia ni kan milik Allah,dan Allah berjanji untuk mengabulkan setiap permohonan kita.Cuma.....

Kita perlu faham dalam status kita sebagai seorang hamba,pengkabulan itu adalah milik Allah.Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita.Yakinlah yang Allah sentiasa mengkabulkan doa orang-orang yang berdoa,dan pengkabulan itu menurut pilihanNya dan pada saat yang Dia kehendaki.Yang pasti,Allah takkan tinggalkan kita.


Saya tutup perkongsian kali pertama,di blog yang baru ni dengan kisah suhbah kami dengan guru kami.Ada 2 kisah tentang syukur ketika kami bersama dengan beliau.

Kisah pertama dengan beliau,hafizohuLlah,ketika itu selepas kami menunaikan solat Zohor berjemaah bersama beliau di Kuala Terengganu pada 27 Mei 2019.Selesai solat,beliau berpesan,

"Seandainya kita dalam kesempitan atau kekurangan,janganlah mengeluh dengan(umpamanya)menyebut,

'Aku tak berduit..'
kerana kata-kata itu akan diaminkan oleh malaikat.
Namun ucapkanlah, 'Alhamdulillah' pada setiap masa & keadaan meskipun ketika dalam kesempitan kerana dunia ini milik Allah.
Allah Maha Kaya dan tak ada apa yang mustahil bagiNya."

Kisah kedua dengan beliau,hafizohuLlah,ketika itu selepas majlis dengan beliau di Bangi,Selangor beberapa bulan yang lalu.Ada seorang lelaki  yang sedikit berusia datang menziarahi beliau.
Ketika itu beliau bertanya khabar kepada lelaki tersebut yang diuji dengan sedikit keuzuran.
Lelaki tersebut menjawab bahawa keadaan kehidupannya sekarang turun naik,adakalanya sakit dan adakalanya sihat.
Lalu beliau berkata,
"Ucaplah Alhamdulillah & berterima kasihlah kepada Allah kerana sebaik-baik penawar itu ialah sentiasa bersyukur kepada Allah."