Di suatu petang pada 24 Oktober 2023 ketika saya sedang rehat selepas pulang daripada kerja,tiba-tiba bunyi deringan mesej masuk ke telefon bimbit saya.
Setelah membaca isi mesej tersebut,hati saya berdebar-debar dan tertanya-tanya.Adakah tahun depan saya akan menunaikan haji?Ketika itu saya memang betul-betul lupa yang saya dah mendaftar haji.
Deringan mesej tersebut bukan saya seorang saja yang dapat tapi kedua orang tua saya juga mendapat mesej yang sama.Kami mendapat jemputan daripada Tabung Haji untuk menyertai Kursus Haji yang akan bermula tak lama lagi.Ketika itu,tahulah saya bahawa jangkaan kami akan menunaikan haji pada tahun depan jika diizinkan Allah.
Bermula daripada itulah saya terus fokus menghadiri Kursus Haji mingguan tersebut yang bermula pada akhir tahun 2023 sehingga awal tahun 2024.Sebelum itu,saya pernah belajar mengenai haji dan umrah daripada beberapa orang ustaz.Di antaranya kelas talaqqi bab Haji melalui kitab Mathla' al Badrain dan menghadiri kursus khas di madrasah pondok seorang Tuan Guru.Sayangnya,saya tak pernah ambil serius tentang setiap kelas tersebut kerana dikira atas kemampuan saya ketika itu tak terbayang dalam hati yang saya juga akan menjadi tetamu Allah suatu masa nanti.Pengajian bab Haji & Umrah juga terasa sangat susah untuk difahami ketika itu kerana saya tak nampak pergerakan ibadah haji & umrah tu secara praktikal.Bak kata pepatah, 'Tak Kenal,Maka Tak Cinta'.
Sehinggalah saya mendapat mesej jemputan Kursus Asas Haji daripada Tabung Haji.Ketika itu baru saya bersungguh-sungguh menghadiri setiap kursus yang diadakan(kecuali minggu terakhir) ,dan berusaha memahami betul-betul setiap ilmu tentangnya.Bila dah kenal dan faham,bertambahlah rasa cinta sampai saya terlupa yang bab Haji & Umrah inilah yang paling saya tak ambil serius ketika di dalam kelas pengajian dahulu.
Saya mula mengikuti kursus intensif selain yang dianjurkan oleh Tabung Haji,di antaranya kursus haji anjuran Rayhar Travel sehingga beberapa minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci saya masih hadir kursus terakhir berkaitan ibadah Haji di Masjid UniSZA,Kuala Nerus,bersama Prof Madya Dr Jamalluddin yang merupakan Pembimbing Ibadah Haji walaupun ketika itu saya dalam keadaan demam yang berat.
Namun kursus itulah yang paling bermanfaat di saat terakhir kerana Prof Madya Dr Jamalluddin menerangkan secara ringkas & padat tentang tatacara ibadat Umrah & Haji satu persatu dari awal sampai akhir,dan salinan nota yang beliau susun itulah yang saya bawa ke Tanah Suci sebagai panduan untuk saya buat checklist & rujukan.
Selain itu,saya juga mula membaca dan mencari ilmu tentang usaha yang boleh diikhtiarkan untuk mendapatkan haji yang mabrur.Maklum saja,keadaan saya yang serba kekurangan ni menjadikan saya terpaksa berusaha lebih sedikit agar bila saya betul-betul terpilih nanti,saya dapat memanfaatkan peluang sekali seumur hidup itu untuk buat yang terbaik (meskipun setelah pulang ke Tanah Air,masih banyak kekurangan yang saya rasa belum mampu saya lakukan sepanjang berada di Tanah Suci. Allah Maha Tahu kemampuan hambaNya yang lemah & Dia merahmati para hambaNya yang sedar kadar kemampuan dirinya)
Ibadat haji hampir kesemuanya berbentuk amali,namun ibadat berbentuk hati wajib juga dijaga agar peluang untuk mendapatkan haji yang mabrur terbuka.Sifat-sifat mazmumah seperti riya',sombong,tak sabar,bergaduh di Tanah Suci dan lain-lain kena usaha untuk dielakkan semaksimum yang mungkin.
Saya juga membeli sebuah buku tentang Fadhilat Haji,Umrah Dan Ziarah susunan Maulana Zakariyya al-Kandahlawi,rahimahuLlah.Buku itulah yang saya baca berulang kali di rumah sehingga ke Tanah Suci atas saranan daripada beberapa orang ulama,selain saya juga meminta salah seorang guru saya membacakan tentang adab-adab ketika menunaikan Haji daripada kitab Anwar al-Qudsiyyah fi Bayan al-Uhud al-Muhammadiyyah susunan al-Imam Abdul Wahhab asy-Sya'rani,rahimahuLlah.
Bersambung...




0 $type={blogger}:
Post a Comment