Assalamualaikum,
Pertama kali saya kembali aktif di dalam blog ini.Sebelum ini,mungkin kali terakhir hampir 10 tahun yang lalu,saya aktif dalam menulis satu blog yang saya pun dah tak dapat nak buka.Hanya dapat jadi pembaca walaupun blog itu sebenarnya milik saya.Mungkin ini yang dikatakan 'hanya mampu melihat dari jauh tanpa memiliki ' 😅
Alhamdulillah 'ala kulli haal.Blog tu dah jadi kenangan.Nak buka pun dah tak dapat,jadi yang lepas kita biarkan ia berlalu.Tahun semakin hari semakin ke depan bukan ke belakang.Adakalanya kita perlu menerima hakikat ada sesuatu yang pernah menjadi milik kita suatu masa dulu,tapi akhirnya ia pergi.Kenapa?Kerana sifat dunia ni semuanya bersifat pinjaman.Kita hanya menggunakan apa yang telah diberi oleh Pemiliknya.Apa yang ditakdirkan untuk kita,ia akan sampai kepada kita dan apa yang bukan milik kita,ia tetaplah takkan datang pada kita.
Di zaman materialistik ni,kita didedahkan dengan media sosial yang sangat kuat pengaruhnya.Ya,saya tak terkecuali.
Seolah-olah hampir semua perkara nak dihebohkan kepada orang lain,walaupun orang tu kita tak kenal pun.Baik yang kita nak kongsikan tu dari sudut keluarga kita,kerjaya,perkahwinan,pasangan hidup,harta yang kita miliki dan sebagainya.
Mungkin ada sebahagian daripada kita yang hidupnya tak semewah orang lain akan terkesan dengan 'post' orang lain di media sosial lalu lahirlah perasaan kurang bersyukur.Ya,saya tak nafikan ia akan memberi kesan dalam hidup seseorang.Lebih-lebih lagi satu perkara yang kita kena akui ialah zaman sekarang situasi ekonomi tak berapa nak memberangsangkan,ramai orang hilang kerja,ramai orang terpaksa menempuh keperitan dunia yang semakin rapuh ni.
Akhirnya,segala keluh-kesah ni akan buat kita letih dan sedikit kehilangan pedoman dalam hidup sehingga melahirkan rasa tidak bersyukur dengan apa yang telah kita miliki dalam hidup ni.
Kita mungkin tak sekaya orang lain,tapi bersyukurlah jika kita masih ada keluarga yang masih mencintai kita.
Kita mungkin tak semewah orang lain,tapi bersyukurlah jika kita memiliki pasangan hidup yang tetap setia di dalam susah dan senang.Antara perkara yang sangat susah untuk kita cari di zaman ni adalah pasangan yang setia susah senang dengan kita dalam hidup ni,mencintai kita tanpa syarat.
Kita mungkin tak semampu orang lain,tapi bersyukurlah bila kita masih ada tempat untuk berteduh,masih ada kesihatan yang baik untuk meneruskan baki-baki usia kita yang masih ada.
Tak ada ubat di zaman materialistik ni untuk kita terus kuat,melainkan kita,
- Sentiasa latih hati untuk bersyukur dengan apa yang kita ada.
- Kurangkan masa kita dengan media sosial.Limitkan masa kita dengannya sehingga kita banyak masa di dunia sebenar berbanding dunia maya.Kembali pada fitrah.
- Tak putus asa dalam berdoa memohon pertolongan Allah agar dicukupkan kehidupan kita
- Sentiasa bersangka baik dengan Allah yang Allah takkan sekali-kali menghampakan kita.
"Jika tidak hari ini,mungkin minggu depan...
Jika tidak minggu ini,mungkin bulan depan....
Jika tidak bulan ini,mungkin tahun depan....
Segala harapan kan datang yang kita impikan..."
Dunia ni kan milik Allah,dan Allah berjanji untuk mengabulkan setiap permohonan kita.Cuma.....
Kita perlu faham dalam status kita sebagai seorang hamba,pengkabulan itu adalah milik Allah.Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita.Yakinlah yang Allah sentiasa mengkabulkan doa orang-orang yang berdoa,dan pengkabulan itu menurut pilihanNya dan pada saat yang Dia kehendaki.Yang pasti,Allah takkan tinggalkan kita.
Saya tutup perkongsian kali pertama,di blog yang baru ni dengan kisah suhbah kami dengan guru kami.Ada 2 kisah tentang syukur ketika kami bersama dengan beliau.
Kisah pertama dengan beliau,hafizohuLlah,ketika itu selepas kami menunaikan solat Zohor berjemaah bersama beliau di Kuala Terengganu pada 27 Mei 2019.Selesai solat,beliau berpesan,
"Seandainya kita dalam kesempitan atau kekurangan,janganlah mengeluh dengan(umpamanya)menyebut,
'Aku tak berduit..'
kerana kata-kata itu akan diaminkan oleh malaikat.
Namun ucapkanlah, 'Alhamdulillah' pada setiap masa & keadaan meskipun ketika dalam kesempitan kerana dunia ini milik Allah.
Allah Maha Kaya dan tak ada apa yang mustahil bagiNya."
Kisah kedua dengan beliau,hafizohuLlah,ketika itu selepas majlis dengan beliau di Bangi,Selangor beberapa bulan yang lalu.Ada seorang lelaki yang sedikit berusia datang menziarahi beliau.
Ketika itu beliau bertanya khabar kepada lelaki tersebut yang diuji dengan sedikit keuzuran.
Lelaki tersebut menjawab bahawa keadaan kehidupannya sekarang turun naik,adakalanya sakit dan adakalanya sihat.
Lalu beliau berkata,
"Ucaplah Alhamdulillah & berterima kasihlah kepada Allah kerana sebaik-baik penawar itu ialah sentiasa bersyukur kepada Allah."
0 $type={blogger}:
Post a Comment