Bermulanya Tahun 2026

 Pejam celik kehidupan.Kita dah masuk fasa seminggu dalam tahun baru Masihi 2026,bersamaan bulan Rejab 1447H menandakan kita dah menghampiri bulan Ramadhan yang penuh berkat.

Sebagai seorang yang ditakdirkan lahir dalam bulan Ramadhan,tentu sekali saya rasa teruja untuk menanti datangnya detik bulan yang berkat ini.Alhamdulillah.



Di celah-celah kehidupan yang penuh dengan ujian ini,Alhamdulillah الله masih mengurniakan kepada kita sebesar-besar nikmat iaitu menjadi seorang yang beriman kepada الله.Kenapa saya katakan ia sebesar-besar nikmat?Kerana sesusah manapun jalan hidup kita kat dunia yang sementara ni,tapi dengan adanya nikmat iman maka الله menjanjikan kebahagiaan yang berkekalan di akhirat kelak.Susah sekejap di dunia,bahagia berpanjangan di akhirat sana.

Berkenaan dengan kesusahan hidup di dunia ni,fahamilah kita sebenarnya bahawa tidaklah ada satu kesusahan yang pernah dialami oleh seorang mukmin melainkan kesemua kesusahan tu telah dilalui oleh kekasih kita,Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Bahkan,beratnya ujian yang dilalui oleh Baginda ﷺ sehingga diabadikan di dalam sejarah Islam bahawa ada satu tahun dipanggil sebagai Tahun Kedukaan bagi Sayyiduna Rasulullah ﷺ.Pada tahun itu,Baginda ﷺ kehilangan isteri tercinta yang menjadi pendukung utama dakwah dalam susah dan senang,Ummul Mu'minin Sayyidatuna Khadijah al Kubra kemudian Baginda ﷺ diuji lagi dengan kehilangan bapa saudara yang sentiasa melindungi Baginda ﷺ daripada gangguan musyrikin Quraisy,Abu Thalib.Hikmahnya,الله ingin mendidik kita umat Baginda ﷺ bahawa ujian tak selamanya kekal.Seperti hujan,ia bermula renyai-renyai kemudian lebat,dan akhirnya renyai-renyai kembali sebelum berhenti.

Pada tahun itu,di malam 27 Rejab الله memuliakan dan menghiburkan kesedihan Baginda ﷺ dengan malam Isra' wal Mi'raj yang berakhir dengan pensyariatan solat 5 waktu seperti yang kita lakukan pada hari ini.


Pelajarannya,setiap ujian dalam hidup ni ada permulaan dan pengakhirannya.Walau sesusah manapun hidup,jangan putus asa daripada berdo'a dan bermunajat kepadaNya sebab do'a adalah wasilah munajat di antara seorang hamba yang lemah dengan Tuhannya yang menciptakannya dan Pemilik Segala Alam ini.

Al Imam Jamaluddin Muhammad bin Abdullah Alaydrus,رحمه الله تعالى،di dalam kitabnya al Idhoh Asrar Ulum al Muqarrabin menyebutkan beberapa kaedah agar hajat yang kita panjatkan kepada الله dimakbulkan.

Pertamanya,beliau mengatakan bahawa berdoa itu adalah saripati atau otak bagi ibadat.Bayangkan kita memiliki pati essential oil yang pekat asli dengan baunya yang wangi dan menenangkan.

Imam Alaydrus menerangkan tentang adab-adab seorang yang ingin berdoa kepada الله,

1. Berdo'alah dalam keadaan khusyuk.Ya,khusyuk yang hakiki sebenarnya adalah anugerah pemberian daripada الله,tetapi kita boleh berusaha secara zahir untuk menjadi wasilah mendapatkan khusyuk.Usahanya ialah kita latih khusyuk itu sebelum memulakan doa lagi.Antaranya dengan memperelokkan wudhu' dan solat kita.Jaga kesempurnaan dalam solat,jaga perkara² sunat yang ada pada solat.Kemudian kita berdoa dengan fokus,tenang,tak gopoh gapah waktu berdoa,hadirkan hati,bersungguh² berdoa dengan jiwa raga & tak fikirkan benda lain selain daripada apa yang kita hajatkan.

2. Zahirkan kerendahan hati kita dan kemiskinan kita kepada الله,tunjukkan ketika berdoa tu keadaan fizikal dan hati kita perlu kepadaNya.Antaranya seperti pendapat Imam Ramli iaitu merapatkan kedua tangan kita ketika berdoa,kemudian jadikan paras kedua tangan kita separas bahu ketika berdoa dengan hati yang pecah,khusyuk & ikhlas.Adapun,Imam Alaydrus pula menganjurkan waktu berdoa tu,kita letakkan tangan kanan kita di atas tangan kiri kita sebagai tanda perlu kepadaNya.

3. Carilah waktu² yang afdhal dalam berdo'a.Imam.Alaydrus meriwayatkan bahawa di antara waktu yang afdhal dalam berdo'a ialah pada waktu sahur atau separuh daripada malam(lebih kurang pukul 2 atau 3 pagi),kerana waktu² tersebut hampir dengan saat doa dikabulkan.

4. Haa ni yang paling penting.Inti kepada pengkabulan doa ialah berusaha makan makanan yang halal lagi baik kerana ia adalah sebab utama doa dimakbulkan.Maksud halal lagi baik tu bukan makanan 5 bintang yang mahal-mahal,tetapi makanan yang jauh daripada syubhat.Yang lagi elok,kita usaha beli barangan buatan Muslim.Tengok cop Halal yang betul² diiktiraf sebelum bayar.Apa yang kita makan memberi kesan dekat perilaku kita.Kalau berkemampuan,kita masak sendiri di rumah atau kita memilih untuk makan di kedai yang sopan pemakaian zahir empunya kedai makan.Nampak tuan kedai pakai pakaian tutup aurat,jaga solat...in sya Allah makanan yang kita makan tu bukan saja halal,tapi toyyiban.

Berkenaan dengan jangan tergesa² nak الله makbulkan doa kita,Imam Ibn Atha'illah as Sakandari,رحمه الله,di dalam at Tanwir fi Isqat at Tadbir,menukilkan adab dalam memperelokkan cara meminta kepada الله,iaitu jangan tergopoh-gapah dalam menanti perkenan do'a daripada الله.Boleh berdoa tu pun dah kira rezeki kerana ramai mana yang terhalang daripada berdoa meminta kepada الله.

Begitu juga beliau berpesan,jangan waktu berdo'a tu hanya meminta perkara dunia semata² tetapi utamakanlah permintaan yang membawa kepada keredhaan الله.Jadikanlah doa itu sebagai tempat untuk bermunajat kepada الله.Setiap hajat dan keinginan yang الله hadirkan dalam hati kita sampai kita jadi nak berdoa kepada الله,sebenarnya adalah wasilah daripada الله untuk kita bermunajat mengadu kepadaNya.

Yang terakhir(sebenarnya kalau kita himpunkan adab² berdoa daripada kedua kitab ni memang tak cukup sampai di sini.Tetapi saya kongsikan yang inti² kadar kemampuan kita untuk menjaga adab dalam meminta kepadaNya),janganlah kita meminta sesuatu yang di luar kemampuan kita untuk menanggungnya.Mintalah kecukupan daripada الله.Cuba lihat doa Baginda ﷺ ini,

اللهم اجعل قوت آل محمد كفافاً

dengan doa ini,الله cukupkan keperluan hidup Baginda ﷺ dan ahli keluarga Baginda ﷺ.

Jangan meminta kemewahan sepertimana yang terjadi pada Tsa'labah yang meminta Baginda ﷺ mendoakannya agar dikurniakan limpahan kekayaan lalu Rasulullah ﷺ bersabda,

"Wahai Tsa'labah,sedikit yang membawa kepada kesyukuran itu lebih baik daripada kemewahan yang membawa kepada kelalaian,"

3 kali Baginda ﷺ menasihati perkara yang sama dan 3 kalilah Tsa'labah tidak mahu mendengarnya.Lalu terjadilah apa yang terjadi,yang akhirnya kekayaan itu memakan diri Tsa'labah sendiri.

نسأل الله السلامة والعافية

Sekadar itulah dulu perkongsian saya untuk kali ini.Semoga dengan berkat 27 Rejab,di Hari Jumaat terakhir dalam bulan indah ini sebagaimana الله menghiburkan hati Baginda ﷺ dan mengangkat kesedihan Baginda ﷺ melalui nikmat Isra' dan Mi'raj,begitu juga kita harap الله memuliakan kita umat Baginda ﷺ ini dengan jalan keluar daripada segala kesusahan & kesempitan