Seingat saya pada pagi itu saya baru keluar bekerja dan sedang berada di atas motorsikal.Deringan telefon berbunyi dan terpapar nama ibu saya pada skrin.Ibu meminta saya check kalau-kalau saya ada menerima mesej di telefon saya.
Sebenarnya ketika panggilan pertama haji pada bulan Januari 2024 nama kami tiada,dan ia merupakan minggu terakhir Kursus Haji diadakan.Saya sedikit kecewa(sebenarnya berat juga kecewa saya kerana adat manusia,apabila terlalu berharap kemudian apa yang diharapkan menjadi sebaliknya memang terasa kecewa di hati),sehingga kekecewaan itu membawa saya untuk tak hadir kursus haji minggu yang terakhir.Kursus akhir tersebut melibatkan praktikal di luar masjid.Saya pasrah dan anggap belum ada rezeki untuk kami pada tahun itu.Cukuplah berharap.Saya pula,mungkin atas sebab pengalaman kekecewaan masa lalu,banyak benda yang saya tak terlalu berharap dalam hidup ini.
Bukan putus asa,tetapi setiap kali ada sesuatu perkara yang saya nak buat maka saya akan solat hajat dan istikharah terlebih dahulu kemudian disusuli dengan do'a sekiranya perkara tersebut baik untuk urusan agama dan kehidupan saya semoga dipermudahkan.Jika sebaliknya,semoga dijauhkan.Selepas itu,baru saya berikhtiar.
Saya melakukan itu semua supaya jika apa yang saya harapkan tak terjadi,saya taklah putus asa.Paling kurang saya bersangka baik,mungkin apa yang saya minta itu tak baik untuk saya dan akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik oleh Allah pada masa akan datang.
Cuma ketika saya dah tak berharap,kedua orang tua saya masih yakin yang rezeki kami untuk menunaikan haji pada tahun itu masih ada.Begitulah,keyakinan yang ada pada orang tua lebih kuat kerana mereka lebih optimis dengan arus hidup di dunia ni berbanding dengan orang muda seperti saya.
Berbalik pada kisah mesej tadi.Setelah saya membaca mesej yang diterima,jelaslah bahawa saya terpilih untuk menunaikan haji pada panggilan yang kedua.Alhamdulillah.Senyuman terukir dan sedikit rasa sebak kerana seperti yang telah saya maklum bahawa saya dah tak berharap namun itulah perancangan daripada Allah.
Ringkasnya,saya terus pulang ke rumah dan bawa kedua orang tua saya untuk menyelesaikan urusan haji secepat yang mungkin.Pada saya,benda yang baik tak sepatutnya dilambat-lambatkan.
Berkenaan dengan ketepatan masa dan tak suka bertangguh ni,saya terbiasa dengan sikap ini setelah 5 tahun lebih saya berurusan di tempat kerja dahulu dengan seorang pengurus senior Petronas Carigali di Kerteh.Beliau banyak mendidik saya tentang ketepatan masa dan jangan mudah bertangguh dalam urusan kerja.Sehingga hari ini,itulah prinsip yang saya pegang walaupun sikap itu kadang-kadang tak berapa disukai oleh segelintir orang.
Tanpa bertangguh lama,dalam beberapa minggu tersebut kami menyelesaikan pemeriksaan kesihatan,urusan passport & Visa Bio.Kami antara yang terawal menyerahkan dokumen tersebut di pejabat Tabung Haji.Alhamdulillah,semuanya dipermudahkan oleh Allah.
Setelah berbincang,kami memilih untuk ke Mekah terlebih dahulu sebelum ke Madinah.Alasannya,agar kami selesaikan dahulu ibadah haji dan setelahnya kami menziarahi Sayyidina Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di Madinah sebelum pulang ke tanah air.
Hampir keseluruhan besar jemaah haji negeri Terengganu pada tahun itu memilih untuk ke Madinah.Hanya sebahagian kecil termasuk kami yang akan terus ke Mekah.Jadi ketika di dalam flight,hanya 2 keluarga sahaja daripada Terengganu.Selebihnya daripada negeri lain.Kami melapor diri terus di Movenpick Sepang sebelum naik bas beramai-ramai ke KLIA sambil diiringi oleh pihak polis.Turut bersama kami di dalam penerbangan tersebut ialah Mufti Selangor,Sahib as Samahah Dato Dr Hj Anhar Hj Opir.Saya sempat melihat beliau ditemubual oleh wartawan media Arab di ruang menunggu untuk berlepas di KLIA.Begitu juga ketika hari terakhir melontar di Mina,saya terserempak dengan beliau berjalan seorang diri pulang daripada melontar.
Kami dapat tahu keputusan jadual penerbangan ketika pertengahan bulan Ramadhan.Saya masih ingat ketika itu waktu petang selepas Asar.Sebelum ke tempat kerja,saya menyemak THijari.Waktu itu keluar jadual penerbangan di mana kami akan berlepas ke Mekah pada akhir bulan Mei.
Saya memaksimumkan masa yang ada dengan bekerja bagi mengumpul duit sebagai bekalan untuk ke sana.Saya bekerja part time di bulan Ramadhan sebagai penjual di bazar sehingga sehari sebelum menyambut Aidilfitri.Maklum,saya bukanlah orang kaya.Hanya lelaki kampung biasa-biasa.Sekurang-kurangnya ada sedikit bekalan untuk menampung selama sebulan lebih berada di sana.
Flight kami berlepas ke Mekah lebih kurang pukul 2 pagi.Pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Saudi Arabia Airlines yang kami naiki membelah langit meninggalkan bumi Malaysia dan selamat tiba di Jeddah awal pagi selepas Subuh.Saya dimaklumkan bahawa penerbangan awal ke Madinah kebanyakannya melalui pesawat Airbus A330 milik Malaysia Airlines.
Alhamdulillah sepanjang berada di sana,saya direzekikan sebilik dengan teman-teman yang baik.Kami ditempatkan di Land Premium Hotel di kawasan Misfalah.Hotel tersebut besar dan sangat selesa.Saya tak ingat hotel tu berapa tingkat tetapi di ruang atap ada mesin basuh dan juga tempat untuk kami menjemur kain.Kami sebilik dari Terengganu,Perak,Johor dan Pulau Pinang.Sejak di Mekah sampai ke Mina kami bersama,sehinggalah tiba di Madinah barulah saya berpisah bilik dengan mereka.
Antara tempat yang paling menyeronokkan bagi orang muda seperti kami ialah ketika di Arafah,Mudzalifah & Mina.Rakan sebilik saya ramai yang sebaya usia saya maka,kami sama-sama berpakat untuk berkhidmat membantu warga tua sepanjang berada di ketiga-tiga tempat tersebut.Yang mana tersesat,kami menjadi penunjuk jalan.Yang mana uzur,kami tolong pimpinkan.Bahkan,ketika melontar di Mina pun kami bergerak bersama-sama.Suasana di Mina tak ubah seperti perkhemahan di zaman sekolah dulu.Walaupun sempit,tapi satu kenangan indah untuk kami.
Dan yang terakhir,saat paling berat saya rasakan ialah sewaktu kami ingin meninggalkan Madinah.Awalnya,kami bertolak daripada Mekah selepas Zohor menuju ke Madinah.Pada paginya,kami selesaikan tawaf wada'.Suasana selepas haji di dataran tawaf berhampiran Kaabah belum ramai jadi kami masih dapat melakukan tawaf di ruang tersebut.
Perjalanan daripada Mekah ke Madinah mengambil masa lebih kurang 8 jam dengan menaiki bas.Kami sampai lebih kurang pukul 10 malam di Madinah dan ditempatkan di hotel Emaar Royal,sangat dekat dengan Masjid Nabawi.Ketika kami sampai di Madinah,saya teruja melihat kubah hijau Masjid Nabawi di pertengahan jalan dengan suasananya yang cerah disinari cahaya.Bagaikan mimpi,selama ni saya hanya melihat di dalam gambar tapi pada hari tersebut saya menjejakkan kaki sendiri ke sana.
Selama 5 hari kami di Madinah,tibalah masa untuk pulang ke tanah air.Selama 5 hari tersebut,saya mengambil peluang untuk menziarahi Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam hampir setiap waktu selepas solat,menggunakan segala ruang dan kesempatan yang ada sebagai insan biasa yang belum tahu bila lagi ada peluang untuk ke sana.Selama di sana juga kami sempat dibawa ke Masjid Quba' dan kawasan perkuburan Baqi'.
Penerbangan pulang kami pada awal pagi di bulan Julai selepas Subuh.Pada malam sebelumnya,saya melakukan ziarah wada' sebelum kami bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah dan ia adalah perkara yang paling berat dalam hidup.Lebih berat daripada perasaan patah hati yang pernah saya lalui suatu masa dahulu.Hanya Allah Maha Tahu bilakah lagi saya akan menjejakkan kaki ke bumi Madinah yang berkat ini.
Sehingga ketika di dalam penerbangan sebelum pesawat yang saya naiki berlepas,saya melihat bumi Madinah melalui tingkap kapal terbang dengan hati yang berat...sehinggalah pesawat berlepas ke langit yang menjadikan tanah Madinah yang berkat itu semakin mengecil dan menjauh.
Kami selamat tiba di KLIA pada hari Jumaat malam,dengan kepulangan kami disambut oleh staf Tabung Haji dan ahli keluarga.Alhamdulillah.
Kalau nak diceritakan lebih detail tentang pengalaman dan kisah yang dilalui sepanjang berada di sana,penulisan ini takkan berakhir di sini namun saya meringkaskannya agar ia menjadi sebuah travelog mini yang menghiasi blog saya yang sederhana ini.










0 $type={blogger}:
Post a Comment