Alhamdulillah di atas kurniaan Allah,kita sampai di penghujung tahun 2025 setelah pelbagai perkara kita tempuhi yang buat kita jatuh bangun,dan akhirnya kita hampir sampai ke titik penghujung untuk tahun ini.Adapun untuk tahun Hijri,kita dah masuk bulan Rejab.Kurang 3 bulan lagi kita akan sampai ke bulan Ramadhan jika diizinkan الله.
Menghadapi hidup pasca PKP untuk saya,bukanlah sesuatu yang mudah.Dengan usia yang masih muda,masih ada cita-cita tapi ditakdirkan dengan laluan berbeza yang tak dijangka.Namun,apa sekalipun jalan hidup ni tetaplah kekalkan rasa syukur dalam hati.Sebab apa?Kerana serumit mana jalan hidup yang الله tentukan,Dia mengekalkan nikmat terbesar yang tak mampu ditandingi oleh suatu apapun;nikmat keimanan,nikmat rasa bahawa diri ini seorang hamba yang menyembah الله semata-mata tanpa mensyirikkanNya dengan suatu apapun.Alhamdulillah.
Walaupun kita mungkin diuji dengan sedikit kesusahan di dunia,tapi selagimana kita bangun pagi ada tempat tinggal untuk berteduh,ada makanan dan minuman untuk dikecapi,ada keluarga yang sentiasa menyokong di sisi,ada peluang untuk belajar agama,ada nikmat guru dalam kalangan ulama' yang sentiasa membimbing dan memberi perhatian....jika semua ini nak ditukar dengan nikmat duniawi,nescaya nikmat² tadi tak ternilai harganya berbanding dunia yang sementara ni.
Rasulullah ﷺ ada berpesan tentang panduan untuk kita rasa bahagia dengan apa yang ada,
من أصبح منكم آمنًا في سرْبه،معافًى في جسده،عنده قوت يومه،فكأنما جيزتْ له الدنيا
"Sesiapa yang berpagi-pagi daripada kamu dalam keadaan aman pada tempat kediamannya,sihat tubuh badannya,di sisinya ada makanan yang mencukupi untuk harinya itu maka,seolah-olah telah dihimpunkan baginya dunia ini."
(Riwayat Imam al Bukhari dalam Adab al Mufrad,Imam Tirmizi & Imam Ibn Majah)
Apapun,kita tetap berusaha untuk mencari kehidupan yang lebih baik walaupun masih belum berpihak pada kita.Namun,selagi kita berusaha,yakin dan bersangka baik dengan الله,selagi itulah kita dapat pahala dan kebaikan di sisi الله.
انتظار الفرج عبادة
Sabda Sayyidina Rasulullah ﷺ,
"Bermula sebaik² ibadah itu ialah menunggu jalan keluar."
(Riwayat di dalam Jami' Imam Tirmizi)
Di antara sunnah Baginda ﷺ,sentiasa optimis & berharap yang baik kerana di situ ada nilai keimanan yang tinggi iaitu sentiasa bersangka baik dengan Allah.
Dalam hadith Qudsi,الله berfirman,
“Aku adalah berdasarkan keyakinan hambaKu terhadapKu & Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu”.
(Muttafaq Alayh)
Alhamdulillah,di celahan jatuh bangun dalam hidup untuk tahun ni,saya bersyukur kepada الله kerana nikmat yang selama ni saya sangka tak mampu untuk dapatkannya,tak disangka-sangka الله menunjukkan jalannya...iaitu dibuka jalan dan peluang untuk belajar salah satu ilmu untuk menguasai Bahasa Arab,iaitu ilmu Nahu.
Sehingga pena ini ditulis,Alhamdulillah saya dah hampir menyelesaikan pengajian khusus dengan guru saya dalam Matan al Ajrumiyyah,sebuah matan asas untuk memahami ilmu Nahu di mana saya mula membaca secara khusus sejak bulan Zulhijjah.Cadangnya dikhatamkan sebelum Ramadhan ini sebelum masuk pada pengajian syarah bagi matan tersebut pada bulan Syawal nanti jika diizinkan الله.
Sejarah saya dengan bahasa Arab ni bukanlah setahun dua tapi sejak zaman sekolah lagi.Pendek kata,ayah saya inginkan saya menjadi seorang ustaz.Hari pertama saya mula masuk sekolah menengah,saya dihantar ke sekolah menengah agama di kampung saya.Namun adat budak remaja,sebab sekolah itu tiada kawan² lama dari sekolah rendah maka pada hari kedua saya berpindah ke sekolah menengah biasa yang pada ketika itu hampir separuh rakan sekelas saya waktu sekolah rendah dulu ada di situ sebelum sebahagian kecil daripada mereka berpindah kerana mendapat tawaran bersekolah di sekolah berasrama penuh.Tetapi,sekolah menengah tersebut ada aliran bahasa Arab cuma saya tetap memilih aliran biasa.
Saya juga di 'brainwash ' daripada beberapa orang teman bahawa bahasa Arab ni susah.Ada yang kata,siapa yang pandai Matematik maka bolehlah kalau dia nak kuasai bahasa Arab sebagai gambaran payahnya subjek bahasa Arab itu.
Sehinggalah tahun-tahun seterusnya,saya mula belajar agama dengan beberapa orang asatizah setiap kali pulang daripada sekolah.Kebiasaan guru saya ada yang membaca kitab Arab,jadi saya hanya mampu melihat kitab tersebut tanpa tahu ibaratnya sebab tak ada kemahiran untuk mengi'rab kitab Arab yang dipelajari.Kemudian,perjalanan saya dengan Bahasa Arab semakin menjauh seolah-olah kami tak mungkin bertemu lagi apabila saya melanjutkan pengajian diploma dalam bidang Kejuruteraan Melanikal,tanpa disedari tahun-tahun ke depan saya dilorongkan semula jalan untuk belajar Bahasa Arab ini.Kata orang tua-tua,
"Kalau dah jodoh,tak kemana..."
Pada tahun 2016,saya mula hadir ke daurah Matan al Ajrumiyyah yang dianjurkan oleh guru saya.Namun,ia tidak memadai untuk orang yang 'zero' macam saya.Cuma Alhamdulillah saya mendapat sanad yang bersambung kepada pengarang matan ini melalui guru saya tersebut yang bersambung dengan Almarhum Tuan Guru Hj Hashim Pasir Tumboh,seterusnya kepada al Musnid ad Dunya Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al Fadani hingga ke pengarang.Di akhir daurah tersebut,guru saya mengijazahkan kami dengan syarat jika nak mengijazahkan kepada orang lain hendaklah kami menguasai dulu matan ini barulah diizinkan untuk memberi ijazah kepada orang lain.Ini adalah satu amanah untuk kami.
Hari-hari pun berlalu.Saya banyak ikuti kelas pengajian online bahasa Arab namun,hampir kesemuanya saya tak faham.Sampailah tahun ini,sahabat saya daripada Selangor buat daurah 5 hari tentang ilmu Nahu dan Sorof di Terengganu.Saya mengikuti sepenuhnya daurah tu.Sepanjang daurah tu,saya nampak gambaran sedikit sebanyak tentang kaedah Nahu dan Sorof.Dan Alhamdulillah,sahabat saya tersebut mencadangkan saya belajar bahasa Arab dengan seorang ilmuan muda dari Terengganu yang baru pulang mengaji di Mauritania(dipanggil Syanqit).Selepas itu,saya mencari ilmuan tersebut dan Alhamdulillah,dapat bertemu dan mengaji dengan beliau.
Begitulah sedikit sebanyak perjalanan saya untuk tahun ini.Masih ada lagi kisah yang lain namun kisah ini antara anugerah besar yang الله hadiahkan untuk tahun ini.Walaupun mungkin dari sudut keduniaan ia kelihatan tak bernilai namun,bagi saya ia satu permulaan yang baik untuk tahun-tahun seterusnya agar dapat jadi jambatan untuk manusia biasa yang bukan pelajar agama seperti saya ni menguasai ilmu Syari'ah selain daripada ilmu duniawi di zaman yang mencabar ni.
Sama-sama kita berdoa agar tahun-tahun mendatang ada kebaikan daripadaNya untuk kita,dipelihara daripada segala fitnah dan mehnah dan dibukakan pintu-pintu kebaikan.
Selamat Menyambut Tahun 2026 dan Selamat Menyambut bulan Rejab yang mulia.


0 $type={blogger}:
Post a Comment